KUALA LUMPUR – Lebih 30 tahun berkecimpung dalam dunia seni suara, penyanyi bersuara soprano Ning Baizura enggan terlalu ambil ‘pusing’ dengan tohmahan netizen yang mengecam tindakannya menjayakan persembahan di dalam kelab malam.
Ning atau nama sebenarnya Ning Baizura Sheikh Hamzah berkata, dia menjayakan persembahan di tempat hiburan bukannya rumah ibadat.
“Saya dah lama ‘makan garam’. Saya buat untuk showbiz (kerja). Takpayahlah nak sebut saya terlalu kebaratan. Itu tempat saya kerja, bukan masjid.
“Nak cakap apa, cakaplah. Persembahan saya jayakan itu bukan pada bulan Ramadan pun.
“Zaman saya dahulu, kalau ditegur orang jumpa depan-depan. Sekarang ini zaman media sosial, saya hanya pekakkan telinga dan teruskan perjalanan.
“Tak tiada kuasa nak merapu nak marah netizen ke apa. Persembahan berlaku sebelum bulan Ramadan. Kalau dulu saya nangis buat sidang media. Sekaang ini, saya malas nak fikir sangat selagi tak kacau periuk nasi saya,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ning, 48, yang ditemui usai majlis berbuka puasa Rizman Ruzaini di sebuah hotel terkemuka di sini berkata, turut menjawab pertanyaan media berhubung fesyen rambut ‘blonde’ baharu yang disamakan dengan legenda muzik, Anita Sarawak.
“Sama sebab ‘blonde’ ke? Mungkinlah sebab warna tapi muka tak sama. Terima kasih sebab samakan saya dengan seorang legenda.
“Manusia ni kan suka cari persamaan. Tak boleh ke biarkan seseorang itu jadi diri sendiri. Terima kasih sebab pujian namun bakat saya lain kalau nak disamakan dengan Kak Nita. Saya sayang beliau,” ujarnya.
Terdahulu, pelantun lagu Awan Yang Terpilu itu dikecam sebilangan netizen yang kurang bersetuju dengan tindakannya mengadakan persembahan yang disifatkan sebagai pusat hiburan.
Ketika mengadakan persembahan dinamakan Bobo KL itu, Ning turut mempamerkan gaya rambut baharu berambut pendek berona ‘blonde’ seraya menggayakan busana yang dilabel sebagai terlalu kebaratan.
Tahun lalu, Ning juga mengadakan persembahan di tempat sama dan tular dikecam kerana dikatakan menyanyi secara sumbang ketika mendendangkan salah sebuah lagu popularnya. – KOSMO! ONLINE