KLANG – Lima kanak-kanak nyaris rentung apabila deretan empat rumah termasuk kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Delek Kanan di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu berlaku ketika semua mangsa termasuk dua wanita berada di dalam rumah berstruktur kayu tersebut, namun kesemua terselamat dan berjaya keluar dari kediaman berkenaan.
Pengarah Bomba Selangor, Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 10.09 pagi sebelum sepasukan 24 anggota termasuk pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang bergegas ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut mendapati api marak memusnahkan deretan empat rumah satu tingkat berkenaan.
Kesemua mangsa bagaimanapun terselamat dengan turut dibantu orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Morni, anggaran kemusnahan rumah itu antara 70 hingga 90 peratus dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.-KOSMO!ONLINE