PETALING JAYA – Pelakon Fatin Afeefa menepis fitnah tidak menghantar anak ke sekolah dengan satu pendedahan kononnya membayar yuran sebanyak RM40,000 setahun bagi pendidikan terbaik buat anak perempuannya.
Katanya, dia mempunyai bukti pembayaran bagi kos pendidikan anak perempuannya, Ivy Herra Sophia ketika memasuki tahun satu di sebuah sekolah antarabangsa.
“Saya belanja RM40,000 untuk masukkan anak saya ke sekolah antarabangsa darjah satu (dan) terus masuk darjah dua tahun lepas dan lengkap tiga semester.
“Macam mana boleh cakap anak saya tak sekolah darjah satu? Saya tak paham kata saya tak sekolahkan anak. Jangan risau saya bayar bil, saya ada semua bukti transaksi, bukti masuk sekolah.
“Bila orang fitnah saya tak kisah pasal anak saya sedih. Saya kerja untuk anak saya, tak tidur, balik pukul 2, 3 pagi. Sebagai ibu saya sediakan yang terbaik untuk anak saya,” luahnya pada sesi langsung di TikTok, baru-baru ini.
Tambah ibu kepada dua anak itu lagi, kos RM40,000 yang didedahkan tidak termasuk pembelian barangan keperluan sekolah seperti pakaian seragam dan buku latihan.
Kata pelakon Red Velvet, sebelum ini dia tidak mendedahkan butiran mengenai sekolah termasuk menutup lencana sekolah pada gambar yang dikongsi di media sosial atas faktor keselamatan si kecil.
Begitupun, Fatin memaklumkan kini anaknya tidak lagi bersekolah di sekolah antarabangsa yang tidak mengikuti silibus kebangsaan itu selepas melihat kehidupan mereka mula nampak urban.
Akuinya, putera sulung, Adam Aisy Arrian, 10, serta Ivy, 7, juga dipindahkan ke sekolah tahfiz swasta bagi mendapatkan pendidikan agama yang sempurna.
“Sekarang anak saya sudah diberhentikan daripada sekolah antarabangsa dan masukkan pula ke sekolah swasta yang fokus kepada belajar agama,” kongsinya.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai satu hantaran TikTok memuatkan beberapa maklumat sulit tuntutan bekas suami Fatin, Adam Shahz yang mendakwa wanita itu tidak memberikan pendidikan secukupnya buat anak mereka. – KOSMO! ONLINE