PETALING JAYA – Kira-kira dua minggu lebih sahaja lagi umat Islam di dunia akan menyambut Hari Raya Raya Aidilfitri dan pastinya ramai yang sudah membuat pelbagai persiapan raya termasuk menyediakan pakaian baharu.
Namun, dalam kesibukan membuat persiapan raya, seorang pengguna Twitter @ciraplaici meluahkan rasa kecewa apabila baju kurung jenama terkenal yang dibelinya pada harga RM489 secara atas talian kurang memuaskan disebabkan terdapat beberapa koyakkan pada pakaian tersebut.
“Tiap tahun bermasalah, tiap tahun juga orang beli. Harga kayangan, kualiti hauk,” ciapnya dalam hantaran semalam.
Sehubungan itu, pengguna tersebut telah bertindak membuat aduan dan pihak butik memaklumkan dia boleh membuat pertukaran tetapi tiada jaminan baju yang diterima akan sempurna 100 peratus.
“Kami tidak jamin bahawa 100 peratus sempurna” seriously (seriuslah)?,” soalnya.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen pula mendapati, pelbagai reaksi turut diberikan orang ramai.
“Biasalah, harga sahaja mahal local brand (jenama tempatan) ini, kualiti memang teruk, banyak kali dah terkena,” kongsi Azizah.
“Senangnya jawab alasan macam itu pada pelanggan. Masa nak menjual bukan main promosi gila-gila, kualiti terbaik la, jahitan kemas la, bila pelanggan dapat yang tak elok, boleh pula kata pakaian kami tiada jaminan sempurna,” perli seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE