LUMUT – Tindakan seorang pemandu lori mencampurkan air dalam botol urin membawa padah apabila perbuatannya itu disedari pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di KM3, Jalan Sitiawan-Kampung Acheh di sini hari ini.
Dia yang berusia lingkungan 30-an itu merupakan antara dua pemandu lori yang ditahan AADK dalam operasi yang bermula 9 pagi itu selepas mereka berdua didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983.
“Operasi bersepadu ini diadakan bertujuan menguatkuasakan undang-undang meliputi pemeriksaan fizikal kenderaan berat, pelepasan asap yang berlebihan serta mengesan pemandu di bawah pengaruh dadah.
“Sebanyak 70 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan selepas 512 buah kenderaan diperiksan dalam operasi selama dua jam itu,” katanya.
Tambah Nor Omar, empat kompaun bernilai maksimum RM2,000 setiap satu dan lima notis arahan dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) atas kesalahan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kerana melepaskan asap melebihi had yang ditetapkan.
Katanya, seramai 36 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung; JAS, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan AADK terlibat dalam operasi itu. -K! ONLINE