PETALING JAYA – Seorang pemuda yang berniaga air di sebuah bazar Ramadan mencuri perhatian ramai selepas berkongsi video tentang seorang gadis cantik yang menjual makanan di hadapan gerainya.
Eddy91 menerusi TikTok, jelas dilihat meminati gadis tersebut tetapi malu untuk mencuba nasib.
“Hari-hari saya nampak awak, saya tak tahu nama awak apa. Kelmarin saya makan nasi awak (jual), sedap sangat. Lagi satu, mata awak cantik. Selamat berbuka awak, kalau lalu kt FYP awak, tolong komen ya,” tulisnya pada video tersebut.
Perkongsiannya itu menyebabkan orang ramai menggesa supaya pemuda tersebut segera bertindak supaya tidak ‘gigit jari’ di kemudian hari.
“Orang lambat selalu rugi bang. Pilih nak cuba atau nak rugi,” komen Sufi.
“Kami mahu bahagian dua bang. Jangan sampai saya sendiri pergi cakap kat dia abang suka dia,” seloroh Warhead pula.
“Cepat bang, nak bahagian dua kalau tak aku sampai sana aku beritahu dia kau suka dia,” usik seorang lagi pengguna.
Perkongsian pemuda itu berjaya menerima lebih 5,000 komen dan 2,465 perkongsian. – KOSMO! ONLINE