KUALA LUMPUR – Selepas isterinya memfailkan penceraian semalam, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan pula hari ini bertindak memfailkan tuntutan nusyuz terhadap wanita itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini.
Musa, 72, hadir ke mahkamah pada pukul 2.45 petang dengan diwakili peguam syarienya Mohd. Rifahmi Abdul Musikin.
Sejurus selepas memfailkan permohonan itu, Musa ketika ditemui berkata, permohonan nusyuz yang dibuat terhadap isterinya Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil atas alasan antaranya ingkar dan tidak taat.
“Saya tidak boleh cerita panjanglah, biarlah mahkamah yang menentukan,” katanya ringkas.
Sementara itu, peguam syarie Mohd. Rifahmi memaklumkan mahkamah menetapkan 5 April ini bagi sebutan semula kes.
Sementara itu, Musa ketika ditanya mengenai penafian isterinya berhubung video tular di laman sosial baru-baru ini, Musa berkata perkara itu dirujuk pada pihak polis.
Semalam Elly Afizahwati memfailkan permohonan penceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003.
Permohonan penceraian itu dibuat setelah mendapati tiada persefahaman dan berlakunya shiqaq (perbalahan berpanjangan) dengan Musa yang dikahwini sejak 10 tahun lalu.
Pada masa sama, ibu seorang anak itu turut menafikan berhubung penularan tiga video pergaduhan bersama suaminya di laman sosial baru-baru ini.
Katanya dia tidak berniat untuk menjadikan rakaman itu tular apatah lagi untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
Jelasnya, dia terkejut apabila mengetahui video tular buat pertama kali menerusi aplikasi TikTok selepas dimaklumkan oleh adiknya sendiri sebelum ini.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 2 Ogos 2013 dan dikurniakan seorang anak lelaki. – KOSMO! ONLINE.