KEJADIAN banjir yang melanda beberapa daerah di Johor baru-baru ini menyaksikan beberapa kawasan telah ditenggelami air sehingga mengakibatkan kira-kira 85,000 penduduk di negeri itu menjadi mangsa.
Selain menyukarkan pergerakan disebabkan sebahagian besar jalan dan kawasan perumahan dinaiki air, bencana tersebut turut mengakibatkan kerugian harta benda kepada mangsa.
Di sebalik musibah itu, ia juga mendatangkan rezeki yang melimpah-ruah kepada sesetengah golongan, khususnya kaki pancing kerana air sungai yang naik turut membawa bersama pelbagai hidupan air tawar.
Perkara itu diakui sendiri oleh seorang kaki pancing, Zulkifli A. Wahab, 46, yang merupakan pemburu hidupan air tawar khususnya udang galah.
Dia yang kerap memburu si sepit biru di beberapa batang sungai di sekitar Muar dan Tangkak, Johor berkata, kehadiran udang galah pada musim banjir baru-baru ini dianggap sebagai luar biasa.
“Kebiasaannya, jika saya keluar memancing udang galah pada musim-musim biasa, saya boleh dapat antara sekilogram hingga 2 kilogram (kg) sehari.
“Tetapi pada musim banjir dan pasca banjir yang melanda Johor baru-baru ini, jumlah udang galah yang berada di sepanjang Sungai Muar meningkat beberapa kali ganda.
“Saya sendiri mampu menaikkan antara 4 hingga 7 kg sehari,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Zulkifli yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah di Tangkak berkata, musim cuti sekolah yang masih berlangsung pada Februari dan Mac lalu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memburu si sepit biru.
Katanya, pada waktu banjir, udang galah yang mendiami sepanjang Sungai Muar biasanya akan menuju ke kawasan hulu sungai untuk mencari tempat berlindung.
“Ketika Sungai Muar dilanda banjir dan berarus deras, saya akan mudik ke kawasan hulu terutama di sekitar Sungai Gersik. Ia bagi memburu udang galah kerana hidupan ini akan memilih tempat berarus perlahan untuk berlindung.
“Kebiasaannya, saya akan turun ke sungai dengan menaiki bot seawal pukul 7 pagi dan akan pulang semula ke jeti sekitar pukul 4 petang.
“Jika kena pada lubuknya, saya mampu menaikkan sekitar 4 hingga 5 kg dengan menggunakan beberapa batang joran,” katanya.
Jelas Zulkifli lagi, kehadiran si sepit biru di sepanjang Sungai Muar semakin ‘menggila’ selepas air banjir mulai surut bermula pertengahan Mac lalu.
Ini terbukti apabila ada antara kaki pancing yang mampu meraih jumlah melebihi 10 kg sehari, selain rezeki tersebut turut dinikmati oleh mereka yang memburu hidupan tersebut menggunakan teknik bubu atau lukah.
“Saya sendiri kerap memperoleh jumlah tangkapan antara 5 hingga 7 kg sehari. Jika pergi memancing berdua bersama rakan, jumlahnya akan berganda.
“Ini kerana selepas musim banjir, udang galah yang sebelumnya berlindung di kawasan hulu akan kembali ke hilir dan berada di sepanjang Sungai Muar kerana sifat udang galah yang suka berhijrah,” katanya.
Jelasnya lagi, sebagai seorang pemburu udang galah berpengalaman, dia akan menggunakan beberapa kaedah untuk mencari lubuk yang kerap didiami hidupan tersebut.
Katanya, antara ‘spot’ menjadi pilihannya adalah di kawasan timbunan ranting kayu yang berada di tebing sungai atau teluk dalam dan mempunyai aliran air perlahan.
“Jika arus perlahan, saya lebih gemar mencari lubuk di kawasan tengah sungai kerana ia kerap didiami udang galah bersaiz besar.
“Sekiranya arus agak deras, barulah saya akan mencari lubuk yang terletak berhampiran tebing sungai yang berarus lebih perlahan dan cetek,” katanya.
Bercakap mengenai umpan pula, Zulkifli berkata, dia kerap menggunakan anak udang atau cacing kerana ia mampu menarik perhatian si sepit biru berbanding umpan lain.
Tambahnya, hasil udang galah yang bersaiz besar dan sederhana biasanya akan dijual kepada pembeli serta peniaga restoran.
Katanya, udang galah akan dibahagi kepada empat gred iaitu A+, A, B dan C dan dijual antara RM50 hingga RM100 bagi setiap kilogram bergantung kepada saiz serta gred.
Sebahagian lagi hasil tangkapan terutama bersaiz sederhana dan kecil akan diagihkan kepada rakan-rakan, selain dijadikan hidangan untuk santapan keluarga.