PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri dan Wilayah Persekutuan sehingga pukul 6 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang itu dijangka melibatkan Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.
“Pahang di daerah Bera dan Rompin, Selangor antaranya di Gombak dan Petaling, Negeri Sembilan di Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah dan Rembau, Sarawak antaranya di Kuching, Serian dan Samarahan manakala Sabah antaranya di Pedalaman, Pantai Barat dan Sandakan,” katanya.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat melibatkan Wilayah Perseketuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Kata MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE