PETALING JAYA – Tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.
Hebahan ini menjadi kecoh dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.
Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.
Menjengah ke ruangan komen, ramai menjangkakan suasana kelam kabut hari raya tahun lepas bakal berulang sekali lagi.
“Tahun lepas dah raya mengejut, sambut raya awal sehari dari (tarikh ditetapkan) dalam kalendar. Adakah tahun ini berulang lagi?,” soal Nizam.
“Jaga-jaga semua. Saya nasihatkan buat persiapan awal, takut tak sempat beli ayam, anyam ketupat,” pesan Atikah.
Bagaimanapun, pihak pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebooknya semalam memaklumkan tarikh itu adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah.
“Tular satu tangkap layar berhubung gambar counting (kiraan) tarikh ‘Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ di Paparan TV Iklan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
‘Sukacita dimaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir di bulan Ramadan supaya dapat meningkatkan ibadah.
“Pihak Masjid tidak bertanggungjawab menentukan tarikh sebenar 1 syawal kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja Raja,” jelasnya.
Justeru, pihak masjid meminta orang ramai untuk tidak beranggapan bahawa tarikh yang dipaparkan adalah suatu ketetapan.
“Marilah kita terus kekal istiqamah menghidupkan bulan mulia Ramadan dengan amalan soleh bagi meraih ganjaran yang berlipat kali ganda,” serunya. – KOSMO! ONLINE