KUALA LUMPUR – Tiga pelari pecut negara berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir 100 meter (m) Terbuka Australia pada aksi kelayakan di Queensland Sport and Athletics Centre, Brisbane sebentar tadi.
Muhammad Zulfiqar Ismail dan Jonathan Nyepa layak automatik ke separuh akhir esok apabila berada dalam kedudukan ketiga terbaik di peringkat saringan masing-masing menerusi masa 10.54 saat (s) serta 10.48s.
Raja pecut Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Khairul Hafiz Jantan turut mara walaupun menamatkan saringan 6 di tempat keempat tetapi catatan 10.52s dilakukannya tetap membolehkannya mara ke separuh akhir.
Nasib berbeza dialami seorang lagi raja pecut Sukan SEA Manila 2019, Muhammad Haiqal Hanafi apabila dibatalkan penyertaan selepas didakwa false start pada peringkat saringan 2.
Ketua jurulatih pecut kebangsaan, Mohd. Poad Kassim menjelaskan, atlet Singapura, Joshua Hanwei meminta maaf kepada Haiqal dan mengakui dia yang melakukan false start ketika itu.
“Ini false start pertama buat Haiqal, sayang sebab ada peluang untuk ke separuh akhir,” kata Poad.
Seorang lagi pelari pecut negara, Muhammad Arsyad Md. Saat pula terpaksa akur apabila mengalami kecederaan dipercayai hamstring pada pertengahan lariannya di peringkat saringan 5.
Selain separuh akhir 100m, pemegang rekod lompat jauh kebangsaan, Andre Anura Anuar juga akan turun untuk menghadapi aksi final lompat kijang esok. – KOSMO! ONLINE