KUALA LUMPUR – Kegiatan seorang pelajar kolej swasta menjual kek brownie dicampur ganja terbongkar selepas diberkas di Jalan 9, di sini, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman berkata, pelajar lelaki berusia 19 tahun itu aktif menjalankan kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu.
“Serbuan dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur selama tiga jam bermula pada pukul 5 petang.
“Sejumlah 6 kilogram (kg) kek mengandungi ganja bernilai RM21,000 dirampas. Punca bekalan diperoleh masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan berasingan, seorang lelaki warga Indonesia yang berperanan menjaga bekalan dadah di Subang Jaya diberkas polis.
Menurut Yahaya, serbuan yang dibuat selama dua hari bermula Isnin lalu, pihaknya merampas 57kg ganja dan syabu bernilai RM192,000.
“Suspek bekerja sebagai buruh berusia 31 tahun positif methamphetamine,” ujarnya yang memberitahu nilai keseluruhan rampasan adalah RM213,000.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. -KOSMO! ONLINE