PETALING JAYA – Dua tahun mendepani alam perkahwinan bersama suami tersayang, Dr. Siew Jim, penyanyi dan pelakon jelita, Elizabeth Tan sebenarnya sudah tidak sabar untuk hamil.
Elizabeth atau nama sebenarnya, Tan Su Mei, 30, berkata, dia kini benar-benar bersedia untuk menjawat peranan sebagai seorang ibu meskipun menyedari kesibukan suaminya yang berkerja di hospital.
“Tahun ini, saya dan suami cuba untuk dapatkan ‘baby’. I cannot wait (saya tak sabar). Lizzy tak sabar.
“Saya dah suami masih tinggal berasingan. Tapi, mungkin dalam seminggu, empat lima hari dia akan datang rumah saya.
“Tapi, saya dah cakap dengan suami kalau saya dah hamil nanti, dia kenalah tinggal bersama dengan saya. Takkan saya nak jaga anak seorang diri (ketawa). Macam tak logik benda itu,” ujarnya kepada Kosmo! Online
Ditemui pada majlis berbuka puasa Universal Music Malaysia di sebuah hotel terkemuka ibu negara semalam, Elizabeth mengakui hubungannya dengan suami tidaklah seindah apa yang sering dipaparkan dalam media. Sama seperti pasangan lain yang ada pasang surut, mereka juga sering bergaduh akibat salah faham.
“Orang tengok kami manis apa semua dalam media sosial, di belakang, mereka tak tahu kami sama juga macam orang lain ada bergaduh besar-besar.
“Banyak kali gaduh teruk. Masalah rumah tangga, biasalah (bergaduh).
“Dengan situasi sekarang (ramai orang bercerai disebabkan orang ketiga), saya bimbang sebenarnya.
“Suami saya kerja di hospital. Dia jumpa ramai orang setiap hari. Kadang-kadang, apabila saya telefon dia tak angkap, saya mesej tak berbalas, saya pun jadi ‘insecure’ (berprasangka).
“Tapi, setakat ini, rasanya tak ada isu . Saya pula tiadalah nak pantau dia kat mana 24 jam. Kalau saya perangai begitu, saya rasa saya kena cerai nanti (tertawa) sebab dia memang tak layan benda macam itu,” ujarnya yang bergelar isteri kepada Siew Jim sekitar Mac 2021.
Perkahwinan mereka hanya dihadiri keluarga dan kenalan rapat sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pandemik Covid-19.
Bintang Abang Long Fadil 3 itu sebelum ini pernah mendedahkan bahawa tahun 2023 adalah tahun untuk bersungguh-sungguh menjadi seorang ibu. – KOSMO! ONLINE