PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan kekecewaan apabila individu yang menyewa sebuah rumah miliknya telah lari meninggalkan kediaman itu dalam keadaan yang sangat kotor dan bersepah.
Menerusi perkongsian di media sosial Ija Syariza, memaparkan beberapa keping gambar keadaan rumah terbabit dipercayai terletak berhampiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Menurutnya, individu itu bukan sahaja lari malah gagal melunaskan bayaran sewa selain membiarkan rumah berkenaan dipenuhi sampah sarap.
Difahamkan, penyewa terbabit merupakan sebuah keluarga dan mempunyai seorang anak.
“Penyewa hantu. Tak bayar sewa dan lari. Geram sahaja. Satu hal pula nak sewa tong roro untuk buang sampah dia sebab esok ada penyewa nak ‘view’ (lihat),” katanya dalam hantaran di Facebook, semalam.
Sehubungan itu, rata-rata orang ramai mengecam tindakan penyewa tersebut atas tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Kadang tak faham juga, mereka itu duduk ke atau biarkan saja rumah itu kosong? Kalau duduk, tergamak ke duduk dalam keadaan huru-hara macam tu?
“Apa yang mereka hadap sebenarnya dan apa tujuan mereka duduk rumah itu. Tak habis nak fikir,” soal Alia.
“Saya pun pernah jadi situasi begini. Penyewa belah macam itu sahaja. Sewa tak bayar berbulan-bulan, barang-barang semua tinggalkan, termasuk bil api dan air tertunggak,” luah Tini.
“Tak faham orang jenis macam ini. Boleh duduk dalam suasana berterabur dan bersepah dengan sampah. Memang jenis tak ada perasaan sampai terbawa-bawa tak bayar sewa,” seloroh Baihaqi. – KOSMO! ONLINE