MELAKA – Pada hari terakhir sebagai Ketua Menteri Melaka hari ini, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali. terus menzahirkan penghargaan kepada rakyat negeri ini yang telah memberikan sokongan di bawah pentadbirannya sejak 9 Mac 2020 lalu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut menyeru kepada rakyat Melaka agar dapat terus memberikan sokongan kepada barisan kepimpinan baharu kerajaan negeri.
“Hari ini sempena sayyidul ayyam, adalah hari terakhir saya memegang amanah mengetuai dan memimpin pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka sebagai Ketua Menteri Melaka ke-12 bermula dari 9 Mac 2020 yang lepas.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan dan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala sokongan, dokongan, pandangan, cadangan mahupun kritikan yang diberikan sepanjang saya melaksanakan amanah tersebut.
“Saya menyeru dan merayu kepada rakyat sekalian, agar dapat terus memberikan sokongan, dokongan dan kerjasama terbaik kepada barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka yang baharu, sama seperti yang telah diberikan kepada saya sebelum ini demi Melaka tercinta,” katanya dalam catatan di Facebook rasmi miliknya.
Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dalam kenyataan yang dikeluarkan memaklumkan Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ketua Menteri Melaka yang baharu bakal berlangsung hari ini, pukul 3 petang.
Ia susulan keputusan dibuat Sulaiman yang melepaskan jawatan itu dengan menghantar surat peletakan jawatannya menerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid memaklumkan pihaknya telah mengutuskan warkah kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Rustam untuk menerima surat peletakan tersebut yang diterima pada Selasa lalu dan parti mencadangkan Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri yang baharu.
Dalam pada itu, Sulaiman turut menzahirkan permohonan maaf atas segala kelemahan sepanjang beliau memegang amanah tersebut.
“Sempena bulan puasa, Ramadan Al Mubarak ini, saya dan keluarga juga menyusun sepuluh jari memohon kemaafan dan keampunan daripada rakyat Melaka yang dikasihi atas segala kelemahan, kesilapan, kesalahan dan kekhilafan sepanjang saya memegang amanah tersebut.
“Akhirul kalam, saya dan keluarga mendoakan agar seluruh rakyat dan negeri Melaka yang dicintai terus diberikan keselamatan, keamanan dan kemajuan sebagai sebuah negeri Baldatun Toiyibatun Warabbun Ghafur,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE