PETALING JAYA – “Saya lihat wajah anak-anak semua comel bersih. Tidak terbakar. Ada calar-calar sikit-sikit.”
Begitulah gambaran yang dikongsikan pendakwah bebas, Ustaz Ebit Lew selepas menziarahi keluarga empat beradik yang maut dalam kejadian kebakaran di Kampung Sabak Awor, Muar, Johor, malam kelmarin.
Ebit dalam hantaran di Facebooknya malam tadi berkongsi rasa sebak selepas melihat proses pengebumian jenazah empat adik beradik kecil itu yang masing-masing berusia antara tiga hingga lapan tahun.
“Sebak melihat tangisan ibu bapanya sepanjang urusan di Muar, Johor.
“Adik kecil Puteri Aisyah 8 tahun, Mohd Hakim 6 tahun, Mustakim 4 tahun, Fatihah Aisyah 3 tahun. Kecil-kecil semuanya. Melihat wajah bersih cantik semuanya,” katahya.
Menurut Ebit lagi, ibu kepada empat beradik itu menangis selepas melihat kehadirannya di situ, dan memaklumkan arwah anaknya, Aisyah menyimpan hasrat untuk bertemu dengan beliau.
“Innalillahiwainnailaihirojiun, Ibunya asal Kuala Kubu Bharu. Sampai je nampak saya tadi menangis katanya hari-hari anaknya Aisyah nak jumpa ustaz.
“Keluarganya susah. Di rumah tiada perabot, televisyen pun tiada. Tiada barang elektrik. Ibunya keluar lima minit beli barang bergesa balik lihat dah jadi begitu. Ya Allah tuhanku sedihnya dengar.
“Empat beradik dijumpai di bilik air. Mungkin lemas asap dan haba panas,” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan empat kanak-kanak malang berkenaan ditemui maut dipercayai cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi di bilik air di bahagian dapur rumah berkenaan daripada kejadian kebakaran yang berlaku di kediaman mereka. – KOSMO! ONLINE