PETALING JAYA – Kerajaan Kedah akan memastikan kunjungan pelawat ke Langkawi pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa (LIMA) 2023 menjadi kenangan terindah sepanjang hayat mereka.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Mohd. Nor berkata, walaupun diganti dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, beliau akan memastikan semua pihak memberikan komitmen 100 peratus untuk acara itu berjalan dengan sempurna dan lancar pada 23 hingga 27 Mei ini.
Katanya, Syarikat Air Darul Aman telah diarahkan untuk memastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh itu tidak terganggu walaupun akan menghadapi peningkatan penggunaan mendadak.
“Semua infrastruktur bekalan air terutama Loji Rawatan Air di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi dan Empangan Saga dan Bukit Malut di Langkawi disenggara sebaiknya untuk pastikan bekalan dapat dibekalkan dengan sempurna.
“Demikian juga agensi-agensi kerajaan negeri yang lain khususnya di Langkawi telah bersedia sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA’23,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Kelmarin Sanusi mendakwa beliau dilarang menghadiri majlis rasmi kerajaan Perpaduan dan LIMA’23.
Sehubungan itu, Sanusi mengucapkan selamat datang kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, deligasi dari dalam dan luar negara yang terlibat serta para pengunjung ke Langkawi.
“Kami akan pastikan kunjungan semua pihak ke Langkawi adalah kunjungan terindah sepanjang hayat.
“Ia selaras dengan sabdaan Nabi SAW supaya orang beriman sentiasa memuliakan dan tidak menyakiti jirannya,” katanya. – KOSMO! ONLINE