fbpx

Johor mohon 50 lorong M-Bike atasi kesesakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ONN HAFIZ mengadakan pertemuan dengan Baharudin (tengah) dan Abu Bakar susulan lawatan mengejutnya ke CIQ, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU – Kerajaan negeri memohon projek penambahan 50 lorong baharu laluan Sistem Kawalan Sempadan Automatik (M-Bike) perlu disegerakan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perkara itu perlu dipercepatkan bagi menangani isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI).

Beliau mencadangkan perkara itu selepas mengadakan lawatan mengejut ke CIQ, semalam bagi meninjau keadaan semasa di pintu masuk antarabangsa itu.

Onn Hafiz turut meminta agar penggabungan kaunter kereta di zon A, B, C, dan D di kawasan tersebut akan diselesaikan selewat-lewatnya bulan Julai tahun ini.

“Susulan lawatan mengejut saya ke CIQ BSI semalam, saya telah berjumpa dengan Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor, Baharuddin Tahir dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Johor, Abu Bakar Abd. Aziz.

“Saya meminta jasa baik mereka untuk memastikan projek penambahan 50 lorong baharu laluan M-Bike dapat dilaksanakan segera.

“Bagi memudahkan pengguna, pelekat M-Bike juga boleh mula didapati di CIQ BSI dan CIQ Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) mulai esok,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, semua kaunter di pintu masuk perlu dibuka selain memastikan isu penyelenggaraan dapat diselesaikan oleh pihak JKR secepat mungkin.

“Selain itu, pertukaran syif antara pegawai-pegawai JIM di kaunter perlu efisyen supaya isu kesesakan di kaunter dapat dikurangkan.

“Saya mendengar dan memahami kekangan yang dialami oleh JIM Negeri Johor, namun saya percaya dengan kerjasama strategik dan berterusan antara semua pihak, isu kesesakan di kedua-dua laluan antara Johor dan Singapura ini dapat ditangani dengan lebih berkesan.

“Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak Kerajaan Persekutuan bagi memperbaiki lagi sistem sedia ada,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI