DEMI memberi tumpuan kepada suami dan anak-anak, wanita cekal bernama Norzana Kainin sanggup berhenti kerja selepas sedekad berkhidmat di sebuah syarikat swasta.
Terikat dengan waktu kerja yang panjang apatah lagi perlu berulang-alik dalam jarak jauh membuatkan wanita mesra disapa Izan itu tekad dengan permintaan suami supaya berhenti kerja demi kesejahteraan keluarga.
Walaupun telah berhenti kerja, wanita berusia 43 tahun itu tidak mahu memeluk tubuh dan mengharapkan wang daripada suami sahaja.
Disebabkan itu, dia memilih untuk mengusahakan kedai perabot berdekatan rumahnya yang terletak di Jalan Kebun Tambahan, Kampung Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.
Menurut Izan, dia yang merupakan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu tidak mempunyai pengalaman berniaga.
Katanya, setelah duduk berbincang dengan suami, dia menyahut cabaran bagi menjalankan perusahaan perabot.
“Kebetulan suami ada pengalaman bekerja dengan sepupunya di sebuah kedai perabot kayu jati.
“Kelebihan itu digunakan olehnya untuk membantu saya mengusahakan perniagaan ini.
“Modal permulaan kami ketika memulakan perniagaan ini pada tahun 2008 adalah sekitar RM30,000 hingga RM40,000 hasil daripada wang simpanan,” ceritanya yang merupakan Pemilik Azan Perabot Jati.
Jelas ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, pada awalnya, dia menjual perabot kayu jati bersama perhiasan rumah lain.
Katanya, strategi tersebut tidak mendatangkan untung dan sukar untuk memberi fokus.
Sehubungan itu, pada tahun 2013, dia mengambil keputusan untuk menjual perabot kayu jati sahaja kerana untungnya lebih besar dan senang diuruskan.
“Saya bertuah kerana suami banyak membantu dan dialah tulang belakang di sebalik kejayaan perniagaan ini begitu juga sokongan padu daripada ahli keluarga lain.
“Kini, saya telah mempunyai dua cawangan kedai perabot kayu jati yang terletak hanya 10 kilometer di antara satu sama lain,” tutur anak ke-10 daripada 13 beradik itu.
Tambah anak jati Kampung Jalan Kebun itu, pelanggannya datang dari pelbagai lokasi di seluruh negara termasuklah Johor, Pahang dan Kelantan.
Jelas Izan, produk kayu jati itu diimport dari Indonesia dan ia dibuat sepenuhnya menggunakan tangan, manakala hasil ukirannya juga sangat halus serta indah.
Akui Izan, mengusahakan perabot jati memerlukan kesabaran dan ketelitian kerana dia perlu memastikan perabot yang dibeli oleh pelanggan tidak mempunyai sebarang cacat cela.
“Selepas menerima perabot kayu jati dari Indonesia, kami akan membuat pemeriksaan satu per satu dengan melihat kepada warna, kestabilan kaki , skru tidak longgar, tempat duduk padat dan ukiran sempurna.
“Untuk sebuah kerusi, kami mengambil masa dua jam bagi memeriksa semua aspek tersebut sebelum dijual kepada pelanggan,” ujarnya.
Selama 15 tahun mengusahakan perabot kayu jati, Izan tidak terlepas daripada berdepan pelbagai cabaran.
Antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan adalah apabila pelanggan yang membeli secara ansuran lesap sehingga dia kerugian besar.
“Saya mahu membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki perabot kayu jati dengan membayar secara ansuran tanpa caj tambahan.
“Sebagai contoh, harga perabot RM2,500 mereka hanya perlu membayar deposit RM1,200 dan boleh terus bawa balik ke rumah.
“Malangnya, mereka mengambil kesempatan di atas niat baik saya. Mereka tidak dapat dijejaki dengan berpindah rumah,” katanya.
Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa berdepan dengan mentaliti orang yang beranggapan perabot kayu jati itu mahal. Hakikatnya, perabot moden lagi mahal harganya.
“Mentaliti ini membuat orang takut untuk masuk ke kedai.
“Ada pelanggan yang datang memberitahu, mereka awalnya beranggapan perabot jati mahal.
“Namun, apabila berbincang harga, rupanya ia jauh lebih murah berbanding perabot moden,” katanya yang mengakui tidak terlepas daripada permainan hasad dengki segelintir individu.