MELBOURNE, Australia – Mercedes kembali bersemangat untuk menghadapi perlumbaan pusingan ketiga pada Grand Prix (GP) Australia meskipun masih bergelut mencari cara terbaik untuk kembali mendapatkan kemenangan.
Bagaimanapun, ketua pasukan, Toto Wolff optimis bahawa pasukan kendaliannya itu telah mencapai kemajuan positif terutama sewaktu perlumbaan pusingan kedua GP Arab Saudi.
Di Litar Jeddah, Mercedes berjaya mengatasi Ferrari selepas George Russell menduduki tempat keempat dan juara dunia Formula Satu (F1), Lewis Hamilton di tempat kelima.
Ia adalah peningkatan yang jelas jika dibandingkan sewaktu perlumbaan pembukaan musim di Bahrain apabila mereka dilihat mampu memberikan sedikit persaingan kepada pasukan Ferrari, Aston Martin atau Red Bull.
Walaupun Mercedes masih ketinggalan berbanding Red Bull yang dominan selepas dua pusingan perlumbaan, Wolff berkata, jentera W14 mereka bertambah baik.
“Kemajuan yang kami lihat di Arab Saudi adalah memberangsangkan. Kami memaksimumkan pakej yang kami ada dan memperoleh beberapa mata kukuh.
“Lebih penting lagi, kami terus belajar dan memahami lebih lanjut tentang W14 dan hala tuju pembangunan kami. Semua orang yang kembali ke pangkalan telah bekerja keras untuk mengubah keadaan ini menjadi lebih baik.
“Namun, kami perlu mengambil langkah demi langkah dan tidak akan terbawa-bawa sehingga kami melihat prestasi yang terbaik semula pada jentera ini,” katanya.
Mercedes memenangi lapan gelaran kategori pengeluar berturut-turut sebelum Red Bull merangkul mahkota kemenangan tahun lepas, dengan juara dunia tujuh kali, Hamilton kini mengharungi rekod tanpa kemenangan terpanjang dalam kariernya. – AGENSI