LONDON – Tiket perlawanan terakhir untuk saingan Liga Perdana Inggeris musim ini melibatkan Arsenal menentang Wolverhampton Wanderers dilaporkan dijual sehingga mencecah harga £53,000 (RM288,000).
Skuad kendalian Mikel Arteta ketika ini sedang berada di puncak takhta mengatasi pencabar utama, Manchester City dengan lapan mata berbaki 10 lagi perlawanan sekali gus semakin hampir menamatkan penantian 18 tahun mereka.
Keghairahan semakin memuncak dalam kalangan peminat-peminat setia The Gunners apabila tawaran pembelian tiket untuk aksi terakhir yang akan berlangsung di Emirates diberikan kepada ahli kelab dan habis dalam tempoh tidak lama.
Selepas penjualan tersebut berakhir, tidak lama kemudian muncul beberapa tawaran di media sosial mengenai penjualan semula tiket-tiket berkenaan yang dianggap paling eksklusif apabila Arsenal dijangka menjulang kejuaraan pada aksi tersebut.
Terdapat beberapa individu yang menawarkan tiket berkenaan pada harga £25,000 (RM136,000), malah ia melonjak sehingga harga £53,000 yang ditawarkan oleh pihak yang cuba mencari keuntungan.
Tiket paling mahal untuk aksi menentang Wolves yang dianggap perlawanan ‘Kategori B’ untuk tempat duduk di bahagian atas kawasan tengah hanya dijual pada harga £75.50 (RM410) .
Bagaimanapun, tiket yang dijual pada harga £53,000 tersebut hanya tiket untuk tempat duduk kawasan tengah di tingkat bawah yang biasa dijual pada nilai £41.50 (RM225) menyaksikan sekeping tiket berkenaan bersamaan nilai untuk 1,292 keping tiket pada harga biasa. – AGENSI