fbpx

Dua beranak dikompaun RM2,000, jual nasi kepada ‘geng plastik hitam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penguat kuasa MDK mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis di Kampung Badak Mati, Kota Bharu selepas didapati melanggar syarat berniaga pada bulan Ramadan. Foto oleh ROHANA MOHD. NAWI/ KOSMO!

KOTA BHARU – Dua beranak dikompaun sebanyak RM2,000 selepas dipercayai menjual nasi berlauk ayam dan teh O ais kepada individu yang tidak berpuasa di premisnya di Kampung Badak Mati, Pauh Lima di sini hari ini.

Empat notis kompaun pelbagai kesalahan dengan setiap satunya berjumlah RM500 itu dikeluarkan wanita berusia 49 tahun dan anak perempuannya dalam lingkungan 20-an semasa serbuan Majlis Daerah Ketereh (MDK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Setiausaha MDK, Mohd. Azman Ghazali berkata, ketika serbuan dijalankan, dua beranak itu sedang membungkus nasi dan teh O ais yang sudah dipesan oleh sekumpulan individu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di bahagian dapur premis itu kemudiannya menemui ayam goreng dan beberapa jenis lauk yang sudah siap dimasak.

“Pemilik premis itu pada awalnya mendakwa untuk kesemua lauk-pauk itu akan dijual di bazar Ramadan di kawasan berkenaan.

“Selepas menjalankan siasatan, kedua-dua beranak itu akhirnya mengaku mereka turut menjual nasi berlauk ayam dan teh O ais itu kepada penduduk kampung yang ponteng puasa sejak hari pertama Ramadan,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MDK di sini hari ini.

Mohd. Azman memberitahu, pihaknya mengeluarkan kompaun kepada wanita itu atas kesalahan kad kesihatan tamat tempoh, lesen perniagaan tempoh, tidak menutup aurat dan berniaga pada waktu yang tidak sepatutnya pada bulan Ramadan.

Katanya, kesemua notis kompaun itu dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) mencegah kekotoran MDK 2019 selain UUK Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019.

Sementara itu, peniaga terbabit ketika ditemui mengaku menerima tempahan daripada geng ponteng puasa sejak bermulanya Ramadan.

Menurutnya, dia menjual nasi berlauk ayam pedas yang siap dibungkus pada harga RM4 manakala teh O ais pula RM1.

“Saya memang memasak lauk-pauk untuk dijual di bazar Ramadan, namun ada geng ‘plastik hitam’ di kampung ini merayu agar saya menjual nasi bungkus kepada mereka.

“Mereka datang ke kedai saya kira-kira pukul 9 pagi malah ada yang sudah membuat tempahan awal sebelum datang mengambil nasi bungkus di sini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI