fbpx

Persaingan perlu tetapi jangan berpecah – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika memberikan ucaptama di Persidangan Tahunan Forum BOAO untuk Asia 2023 di Hainan, China semalam.

PETALING JAYA – Persaingan geopolitik dan geoekonomi dalam kalangan negara Asia terutamanya teknologi termaju seperti yang ditunjukkan dalam industri semikonduktor akan menjadi satu perkembangan ke arah produktif atau mungkin menjadi sebaliknya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara Asia perlu memastikan supaya persaingan yang berlaku tidak membawa kepada perpecahan yang hanya akan meningkatkan kos dan menghalang kemajuan.

“Kita perlu menyedari bahawa semua negara akan sentiasa berusaha untuk melindungi hak harta intelek mereka dan cuba untuk mendahului persaingan. Di satu sudut yang lain, kita perlu mengelakkan supaya persaingan tidak membawa kepada perpecahan dalam dunia teknologi yang hanya dilihat akan meningkatkan kos dan menghalang kemajuan di masa hadapan.

“Itulah sebabnya saya percaya bahawa persaingan teknologi harus menjadi salah satu agenda utama perbincangan di peringkat tertinggi, bersama perbincangan mengenai keselamatan dan isu ekonomi umum,” katanya ketika memberikan ucaptama di Persidangan Tahunan Forum BOAO untuk Asia 2023 di Hainan, China hari ini.

Perdana Menteri berkata, dua aspek turut digariskan bagi mencapai perpaduan dan kerjasama dalam pembangunan iaitu fokus kepada nilai penyatuan, serta isu-isu rakyat khususnya membabitkan ekonomi dan kos sara hidup.

“Kita harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan yang berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan yang menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.

“Saya memuji Perdana Menteri Li Qiang dan China kerana mengambil keseluruhan inisiatif ini untuk meneruskan pilihan raya dan dialog dengan negara-negara luar serta pandemik juga dilihat semakin meninggalkan kita, kita harus cuba mendapatkan semula momentumnya,” katanya.

Perdana Menteri ketika ini dalam rangka lawatan ke China sehingga 1 April dan dijangka akan bertemu dengan Presiden China, Xi Jinping sebagai sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula hubungan diplomatik pasca pandemik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI