fbpx

Pesara didakwa pukul adik ipar sampai tangan patah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD/ KOSMO!

MELAKA – Gara-gara berselisih faham dalam urusan penceraian dengan isteri pertama, seorang pesara didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan memukul adik iparnya menggunakan tongkat besi sehingga parah, tahun lalu.

Tertuduh, Hasnor Jaafar, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Sabri Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan parah terhadap seorang wanita, Khairal Ba’iza Ibrahim, 47, dengan menghayun tongkat besi ke arah mangsa hingga menyebabkannya patah tangan kiri.

Perbuatan itu didakwa kira-kira pukul 5 petang di hadapan rumah No 9 Jalan CP 1/32 A Taman Cheng Perdana, Tanjung Minyak pada 8 November 2022.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Difahamkan, tertuduh bertindak memukul mangsa selepas berlaku perselisihan faham ketika membincangkan urusan penceraian dan penjagaan anak-anak dengan isteri pertamanya.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal tidak menawarkan sebarang jaminan, namun memohon syarat tambahan ditetapkan jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara.

Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya menghidap penyakit kencing manis kronik sehingga menyebabkan kedua-dua belah kakinya hampir dipotong.

Tertuduh juga perlu menanggung dua isteri dan tujuh anak yang masih bersekolah berusia 17 hingga empat tahun.

Mohd. Sabri kemudian membenarkan Hasnor diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga cara.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 9 Mei depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI