fbpx

Dewan Rakyat: Model percukaian Malaysia tidak mampan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad.

KUALA LUMPUR – Model percukaian Malaysia sedia ada dengan purata hasil cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) cuma sekitar 11.5 peratus tidak mampan buat negara bagi tempoh jangka masa panjang.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Malaysia pada satu ketika tidak lagi boleh meneruskan model percukaian seperti itu.

“Saya ingin ‘membenarkan’ apa disebut oleh Ahli Parlimen Titiwangsa (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) memang model ini tidak mampan. Kita akhirnya pada satu ketika nanti tidak akan boleh meneruskan model 11.5 peratus hasil cukai kepada KDNK ini.

“Oleh itu antara langkah kerajaan kita ingin melaksanakan subsidi bersasar dan kita telah mulakan untuk elektrik dari bulan Januari hingga Jun. Penjimatan atau hasil tambahan RM4.1 bilion. Kita akan buat subsidi bersasar untuk diesel pula, sistem yang akan kita selesaikan pada suku kedua tahun ini,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Johari adakah model percukaian Malaysia berbanding KDNK sekitar 11.5 peratus mampan untuk negara kerana jumlah faedah yang perlu dibayar setiap tahun termasuk subsidi begitu besar dikhuatiri menyebabkan negara akan terus meningkatkan hutang yang tidak terkawal pada masa akan datang.

Johari turut membuat perbandingan peratus kadar cukai berbanding KDNK negara ASEAN lain seperti Thailand sebanyak 14.1 peratus, Filipina (14 peratus), Singapura (13 peratus) dan Vietnam (22.7 peratus). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI