fbpx

Nabila Razali tidak kisah calon suami pilihan keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA RAZALI

PETALING JAYA – Belum sampai jodoh ketika usia meniti angka 30 tahun, penyanyi yang juga pelakon popular, Nabila Razali mengakui ada kerisauan namun enggan menjadikan perkara tersebut sebagai bebanan sehingga memberatkan kepalanya.

Nabila atau mesra disapa Bella memberitahu, perhatian hidupnya terhadap kerjayanya dalam bidang seni menyebabkan fikirannya tidak sempat terarah ke arah cinta atau mencari calon suami.

“Buat masa sekarang saya belum lagi terfikir untuk berumah tangga lagi. Tipulah kalau tidak ada terfikir langsung. Ada, cuma saya lebih fokus pada kerja.

“Dari dahulu sampai sekarang, siapa yang kenal saya akan tahu saya seorang yang kuat bekerja. Jadi memang saya tiada masa untuk fikir soal cinta dan jodoh,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujar pelantun Peluang Kedua itu lagi, dia masih memegang dengan tujuan asalnya menceburi dunia seni kerana mahu mencari rezeki dalam bidang tersebut bagi menyara keluarganya.

“Saya pernah cakap, niat pertama saya menceburi dunia seni sebab nak cari duit. Saya masih ada keluarga untuk ditanggung.

“Lagi pun, banyak lagi perkara yang belum saya buat dalam industri ini. Hendak menjaga satu hati lagi pun memerlukan tanggungjawab juga,” katanya.

Nabila yang pernah mengabadikan kisah cinta silam yang tidak kesampaian dalam novel berjudul Kerana Cinta Itu Ada pada tahun lalu turut memberitahu, pada usianya hari ini, dia tidak lagi terlalu memilih soal jodoh, asalkan lelaki itu boleh menerima dirinya seadanya.

“Kalau ada yang mahu mengenali, saya okay sahaja. Tentang ciri-ciri lelaki idaman, kalau dulu banyak. Tapi bila dah semakin meningkat umur, saya dan kurangkan kriteria tersebut.

“Tapi apa yang penting, cukuplah kalau hatinya ikhlas dan mengenali cara kerja saya. Insya-Allah kalau ada jodoh, pasti akan datang dan saya tidak akan simpan sendirian,” jelas Nabila yang ditemui ketika majlis berbuka puasa anjuran Universal Music Malaysia, baru-baru ini.

Pada masa sama, Nabila juga tidak menolak jika jodohnya diatur oleh keluarga, asalkan lelaki yang dijodohkan itu memenuhi kriteria seperti yang diharapkan.

“Saya juga percaya jodoh yang diaturkan keluarga. Saya tidak kisah, asalkan hati dia ikhlas dan faham kerja saya. Itu sahaja,” katanya.

Terdahulu, dalam novel Kerana Cinta Itu Ada, Nabila berkongsi pengalamannya ditinggalkan kekasih dan gagal dalam percintaan sehingga menjadi pengalaman pahit yang masih berbekas sehingga kini.

“Cerita putus cinta ini sudah lama terjadi iaitu sebelum saya jadi artis lagi. Kami hanya sempat melayari alam percintaan selama setahun sebelum hubungan terlerai akibat orang ketiga.

“Saya ditinggalkan tanpa berita sehingga tak tahu adakah hubungan itu masih berterusan atau sudah terhenti,” kongsinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI