KANGAR – Sebanyak 155 laporan diterima pihak polis berhubung kerosakan harta benda akibat ribut yang melanda Perlis semalam.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, sehingga semalam, pihaknya belum menerima laporan mengenai kemalangan jiwa mahupun kecederaan akibat bencana tersebut.
“Sebanyak 155 laporan diterima mengenai kejadian ribut di seluruh Perlis dan anggaran kerugian setakat ini kira-kira RM566,830.
“Kebanyakan laporan diterima adalah kerosakan akibat ribut dan pokok tumbang yang menghempap kenderaan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Sejurus selepas kejadian ribut sekitar pukul 5 petang itu, aliran trafik perlahan disebabkan pokok tumbang yang menghalang laluan pada waktu puncak.
Malaysian Emergency Response Services 999 (MERS 999) negeri memaklumkan pihak itu menerima 22 laporan mengenai pokok tumbang dan bumbung tercabut. – KOSMO! ONLINE