BATU PAHAT – Seorang pesakit buah pinggang lega apabila Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) segera tampil membantunya yang baru sahaja kematian suami akibat kanser paru-paru.
Wanita berkenaan, Turiani Basirin, 55, yang kehilangan suami tercinta Mohamed Said Awang Ahmad, 59, pada Jumaat lalu terharu, kerana kekusutannya memikirkan masa depan dia dan dua anaknya seolah terlerai dengan tindakan pantas Perkeso itu.
Katanya, dia terpaksa menjalani rawatan dialisis setiap minggu sejak 2013 selain hanya bergantung hidup pada suaminya sebelum ini.
“Seorang anak saya belajar di universiti di Segamat dan seorang lagi masih di tingkatan satu manakala empat lagi anak yang lain sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing
“Arwah suami bekerja sebagai pekerja am di Kelab Golf Batu Pahat dan tidak mampu lagi mencari rezeki selepas kansernya semakin merebak sejak Mei lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Besar, Jalan Kluang, di sini, semalam.
Sementara itu, Pengurus Perkeso Batu Pahat, Suhara Mustafa berkata, waris kepada orang berinsuran (OB) terbabit layak untuk mendapat dua jenis pampasan iaitu Faedah Pengurusan Mayat (FPM) dan Pencen Penakat.
“Bagi FPM bayaran sebanyak RM2,000 diberikan kepada isteri OB dan Pencen Penakat akan diberikan bermula bulan November depan.
“Bagi Pencen Penakat ini, ia mempunyai dua syer iaitu untuk isteri dan juga anak kepada OB, yang mana bagi syer anak akan dibayar sehingga umur mereka 21 tahun atau sehingga melanjutkan pengajian sehingga peringkat Ijazah Pertama,” katanya.
Katanya, sebelum ini, Perkeso juga menanggung kos rawatan dialisis isteri OB di bawah Skim Keilatan sebanyak RM150 untuk sekali rawatan sejak 2013.
Dalam pada itu, penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani Datuk Ali Sheikh Ahmad.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parit Raja, Nor Rashidah Ramli. – K! ONLINE