fbpx

Dua kemenangan ceriakan Pan-gon

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD negara berjaya mencatat dua kemenangan pada dua aksi persahabatan untuk perlawanan antarabangsa kali ini.

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM

KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berpuas hati setelah pasukan kendaliannya berjaya menutup kem latihan kali ini dengan dua kemenangan ke atas Turkmenistan dan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, di sini.

Keputusan itu juga membo­lehkan Harimau Malaya menundukkan kedua-dua lawan mereka itu buat kali kedua berturut-turut setelah mencatatkan keputusan sama pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, Pan-gon me­rasakan masih ada ruang yang boleh diperbaiki untuk menjadikan persembahan pasukan lebih baik pada masa akan datang.

“Pada perlawanan pertama menentang Turkmenistan, kita sudah mempamerkan peningkatan dan pada malam ini setelah kita di kedudukan selesa, saya cuba memberi peluang kepada semua pemain mendapat minit permainan dan buktikan kemampuan mereka.

“Kita masih berada dalam proses untuk mencapai objektif sebenar pasukan. Dari segi persembahan, ada bahagian yang saya masih kurang berpuas hati, tapi kita tidak mampu untuk menguasai semuanya.

“Saya tetap gembira pemain dapat mencipta kemenangan dan memberikan yang terbaik lebih-lebih lagi bermain di bulan Ramadan yang mencabar mental dan fizikal mereka,” katanya.

Pada perlawanan antarabangsa Tier 1 itu, pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kurang minit permainan bersama kelab meledak satu gol bagi kedua-dua perlawanan sementara Faisal Halim melenyapkan badi gol selepas mencipta jaringan ketika berdepan Hong Kong.

Pengendali Korea Selatan itu, menuntut pemain untuk mengekalkan rekod ketika bermain di halaman sendiri dalam misi menjadikan Malaysia sebagai kubu kuat pasukan.

Katanya, Harimau Malaya sudah melalui lebih 10 perlawanan di laman sendiri dan hanya kalah sekali kepada Bahrain 1-2 pada pusingan Kelayakan Piala Asia 2023 di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu.

“Sejak Mac tahun lalu, kita hanya tewas sekali sahaja ketika berdepan Bahrain, yang selebihnya kita meraih keputusan yang positif.

“Oleh itu, saya mahu jadikan ini sebagai kubu kuat kita agar pihak lawan yang datang sukar untuk mencipta kemenangan, ini membantu pasukan meneruskan momentum kemenangan,” katanya.

Pengendali berusia 53 tahun itu turut berterima kasih kepada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberi sokongan dengan membenarkan kem kebangsaan menggunakan fasiliti canggih di pusat latihan JDT.

Tambahnya, dia bertekad untuk membentuk pasukan yang lebih baik menjelang jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Jun depan.

“Anda boleh lihat ada pemain yang tidak cukup cergas kerana kurang minit permainan. Jadi, saya mahu menggalakkan mereka bermain secara kerap dan itu penting dalam membantu kita membuat persediaan rapi.

“Saya akan pergi melihat setiap perlawanan kerana mahu menyaksikan pemain beraksi, sekali gus mengenal pasti kekuatan mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI