fbpx

K2

Hukum membaca mushaf al-Quran ketika solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK terbatal solat seseorang jika membaca ayat al-Quran daripada mushaf.

Sekarang telah berlaku di masjid dan surau semasa menjadi imam solat fardu, mereka membuka al-Quran. Perkara ini tidak diamalkan dalam sunnah dan sahabat Nabi SAW, mereka menggunakan hafalan. Apakah perbuatan seperti ini dibenarkan syarak?

JAWAPAN: Sembahyang dan membaca al-Quran adalah dua amalan soleh. Adalah sangat dituntut jika seseorang itu mampu membaca keseluruhan al-Quran dalam semua sembahyangnya.

Hukum seseorang membaca mushaf al-Quran ketika sembahyang adalah dibenarkan dan tidak makruh sama ada dia sembahyang bersendirian atau menjadi imam, juga sama ada ketika sembahyang fardu atau sunat, sama ada yang membaca mushaf itu seorang hafiz atau tidak. Jika orang yang sedang bersembahyang membaca ayat al-Quran daripada mushaf, maka tidak terbatal solatnya, sama ada dia seorang hafiz atau tidak.

Bahkan, bagi orang yang masih belum menghafal surah al-Fatihah, wajib baginya untuk membaca mushaf. Jika dia membelek lembaran mushaf daripada satu helaian kepada helaian yang lain ketika sedang bersembahyang, sembahyang itu tidak batal. (Al-Majmu’, Jil. 4, Hlm.27)

Hujahnya: Pertama, membaca al-Quran itu merupakan ibadah dan membaca daripada mushaf al-Quran juga merupakan ibadah. Tiada dalil syarak yang melarang menggabungkan kedua-dua ibadah tersebut.

Kedua, kaedah hukum syarak menjelaskan bahawa hukum kaedah adalah mengikut maksud.
Maksud orang yang membaca daripada mushaf ketika bersembahyang adalah untuk memenuhi tuntutan membaca ayat al-Quran. Ketiga, hukum membaca ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah adalah sunat, maka kaedah melaksanakan amalan sunat itu juga adalah hukumnya sunat.

Keempat, membaca mushaf untuk memenuhi tuntutan membaca ayat al-Quran itu tidak dilarang.

Kelima, menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Darul Ifta’ Mesir: “Membaca ayat al-Quran daripada mushaf ketika bersembahyang adalah dibenarkan dalam hukum syarak, sama ada ketika sembahyang fardu atau sunat. Amalan itu tidak dianggap makruh dan tidak membatalkan sembahyang.”

Bagaimanapun, perlu diambil perhatian jua adalah isu yang diperselisihkan dalam kalangan ulama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI