fbpx

Kembara 11 hari di bumi Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penulis terpesona dengan setiap keunikan di empat negara Eropah yang dilawati.

SEMUANYA bermula dari sesi ‘mengeteh’ bersama rakan-rakan sehingga tercetusnya idea untuk melakukan pengembaraan selama 11 hari ke empat negara Eropah iaitu Switzerland, Jerman, Austria dan Itali.

Perjalanan hampir 10 jam kami bermula di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye.

Dari Istanbul, kami menyambung penerbangan lebih kurang tiga hingga empat jam ke Lapangan Terbang Antarabangsa Zurich, Switzerland.

Di Zurich, kami menggunakan kereta api menuju ke destinasi pertama iaitu Munich, Jerman.

Setiba di Munich, kami melawat beberapa bangunan bersejarah seperti gereja Asamkirche, St. Michael dan Frauenkirche yang memiliki struktur binaan berbata merah dengan dipengaruhi gaya ‘gothic’.

Kami sempat menikmati kopi panas dalam cuaca sejuk di Marienplatz sebelum meneruskan pengembaraan ke Salzburg, Austria yang terletak 150 kilometer (km) di sebelah timur Munich.

Sepanjang perjalanan kereta api, penulis kagum dengan perubahan pemandangan daripada lembah hijau dan sungai jernih kepada gunung-gunung putih diselaputi salji apabila tiba di Austria.

Penulis sempat berimaginasi seperti berada dalam filem The Chronicles Of Narnia dek hamparan dan putihnya salji menghiasi bumi Austria.

Di Austria, kami berjalan di sepanjang laluan sungai Salzach dan melalui rumah kelahiran Mozart dan Istana Mirabell.

PENULIS (tiga kiri dari kanan) bersama rakan-rakan di Grindelwald, Switzerland.

Kami juga singgah di Residence Square. Dari jauh, nampak tersergam kubu Hohensalzburg yang terletak di puncak gunung.

Setelah puas, kami meneruskan pengembaraan kami ke Venice, Itali. Suasana kali ini ibarat berada di sebuah pulau terpencil dengan kehidupan yang sederhana.

Biarpun kawasan ini dipenuhi rumah-rumah batu era Byzantine yang masih terjaga rapi, namun kemudahan dan teknologinya juga up to date.

Venice seperti julukannya sebagai kota cinta, sememangnya tempat yang menaikkan ‘mood’ romantis.

Tidak sah berada di bumi Itali sekiranya tidak merasai piza dan pasta asli. Ternyata rasa piza buatan tangan sangat enak dan sukar dilupakan!

Dari Venice, kami meneruskan perjalanan menuju ke ibu kota Itali iaitu kota fesyen, Milan.

Kami sempat menyinggah di beberapa lokasi utama iaitu Katedral Milan (Duomo di Milano) yang terkenal sebagai sebuah katedral terbesar dunia.

Di sebelahnya adalah pusat beli-belah Galleria Vittorio Emanuele II yang menjadi lokasi gedung-gedung mewah seperti Prada, Chanel, Gucci, Dior dan setaraf dengannya.

Setelah puas mencuci mata di Milan, kami berangkat menuju ke satu lagi bandar idaman dan syurga dunia, Interlaken, Switzerland.

Interlaken merupakan pangkalan tepat untuk melihat keindahan pemandangan Switzerland sambil menikmati keselesaan Resort Lakeside yang bergaya.

Kami semua bersetuju untuk melawat kawasan pergunungan di sini termasuk Grindelwald, Eiger Glacier dan Lauterbrunnen.

Penulis dan rakan-rakan sempat menyinggah ke salah satu kedai cenderahati dan membeli beberapa barang sebagai kenang-kenangan sebelum pulang ke tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI