PETALING JAYA – Senai Airport Terminal Services Sdn. Bhd. (Senai International Airport) menerima pesawat pertama yang mendarat di lapangan terbang tersebut dari Guangzhou, China melalui syarikat penerbangan AirAsia pada 6.55 pagi semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Senai International Airport, Kennedy Ayu berkata, ini adalah penerbangan antarabangsa sulung setelah operasi di lapangan terbang tersebut disambung semula.
“Kami berbangga dan mengalukan kedatangan seramai 110 penumpang daripada pesawat AK139, penerbangan tanpa henti ke Johor Bahru.
“Penumpang dari negara tersebut berkata, Johor adalah sebuah destinasi yang bersesuaian untuk percutian dan perniagaan, penerbangan semula ini telah memberi peluang berpotensi pada masa depan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Penerbangan sebanyak tiga kali dalam seminggu dari Johor Bahru dan Guangzhou itu adalah salah satu strategi AirAsia untuk mengukuh dan mengembangkan lagi operasinya ke China daripada hab lain di Malaysia selain dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macao, Guangzho, Shenzen dan Kunming baru-baru ini. -KOSMO! ONLINE