KUCHING – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Indonesia kerana disyaki menyamun dan mencederakan seorang lelaki warga emas di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek dikenali sebagai Rizal berusia dalam lingkungan 20-an.
“Orang ramai dialu-alukan untuk tampil memberi kerjasama jika mempunyai maklumat mengenai suspek
“Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Inspektor Elvin Manjan di talian 012-8989877 atau menghubungi balai polis yang berhampiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian yang berlaku di sebuah kedai makan di Jalan Petanak kira-kira pukul 7.15 malam Ahad lalu, suspek telah memukul mangsa di dalam tandas sebuah kedai makan.
Video mengenai kejadian turut tular di media sosial dan mangsa berusia lingkungan 60-an kemudian dihantar oleh orang awam ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan kerana mengalami kecederaan di kepala. – KOSMO! ONLINE