BACHOK – Seorang nelayan tidak sempat bersahur selepas rumah pusaka yang menjadi tempat tinggalnya di Kampung Perupuk di sini terbakar dalam kejadian awal pagi tadi.
Kebakaran kira-kira pukul 4.30 pagi itu berlaku semasa Mohd. Yaki Mohamed Zain, 49, sedang tidur di dalam bilik sebelum dia dikejutkan dengan bahang panas.
Mohd. Yaki berkata, merasai bahang tersebut, dia bingkas bangun dan keluar melalui pintu utama sebelum mendapati api sudah marak membakar bahagian ruang dapur rumah peninggalan arwah ibunya itu.
“Saya tidak sempat berbuat apa-apa dan terus meminta bantuan jiran-jiran. Api marak menyebabkan saya hanya mampu melihat rumah papan yang berusia 50 tahun itu terbakar.
“Api cepat merebak kerana rumah saya terletak di sebelah pantai apabila tiupan angin laut kuat turut berlaku ketika itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Irama, Mohd. Huzaimy Che Husin hadit menyampaikan sumbangan Tabung Serambi Mekah berjumlah RM2,000 atas musibah yang melanda Mohd. Yaki.
Menurut Mohd. Yaki, selain rumah, dua buah motosikal miliknya yang digunakan untuk ke Pangkalan Petah di sini sebelum turun ke laut turut musnah dalam kebakaran itu dan kini dia menumpang di rumah kakaknya, Norma Mohamed Zain, 61, buat sementara waktu.
Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Bachok, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Zamizi Muhamad berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada pukul 5.21 pagi sebelum anggota bomba tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian dan mendapati rumah tersebut sudah terbakar 95 peratus. – KOSMO! ONLINE