fbpx

Lima PATI cuba masuk perairan negara secara haram ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PATI warganegara Indonesia yang ditahan selepas disyaki memasuki perairan negara secara haram di perairan Tanjung Bulat, Kota Tinggi awal pagi hari ini.

KOTA TINGGI – Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia ditahan selepas disyaki memasuki perairan negara secara haram di perairan Tanjung Bulat di sini awal pagi hari ini.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, hasil maklumat awam yang diterima, aset Maritim Malaysia berjaya memintas sebelum menahan bot berkenaan sekitar pukul 5 pagi di kedudukan 0.3 batu nautika timur Tanjung Bulat.

“Pemeriksaan ke atas bot gentian kaca tanpa nombor pendaftaran tersebut menggunakan enjin jenis Yamaha 40 kuasa kuda dan terdapat seramai lima lelaki warga Indonesia berumur antara 23 hingga 53 tahun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Bot dan kesemua PATI seterusnya ditahan untuk disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan dan menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

“Jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, Maritim Malaysia menegaskan dan menasihati warga Indonesia yang ingin datang ke Malaysia atau pulang ke kampung halaman terutamanya pada musim perayaan supaya menggunakan laluan yang sah mengikut undang-undang tanpa perlu menggadai nyawa.

Menurutnya, Maritim Malaysia juga sentiasa serius dalam menangani jenayah dan keselamatan perairan negara dimana rondaan dan penguatkuasaan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI