PUTRAJAYA – Kempen mogok doktor kontrak yang dikatakan bakal berlangsung antara 3 hingga 5 April depan dilihat bukan jalan penyelesaian terbaik selain berkemungkinan menyebabkan perkhidmatan kesihatan negara terjejas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini, Kementerian Kesihatan (KKM) hanya menerima hebahan mogok itu melalui saluran media sosial dan pihaknya tiada maklumat lanjut.
“Tindakan itu perlu ditimbang teliti kerana perkhidmatan kesihatan adalah suatu perkhidmatan kritikal membabitkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat.
“Saya berpandangan mogok bukan jalan penyelesaian terbaik khususnya jika ia dikaitkan dengan profesion pegawai perubatan atau mana-mana skim profesional lain,” katanya menerusi kenyataan akhbar di sini tadi.
Katanya, setiap permasalahan yang timbul perlu ditangani dengan penglibatan bersama serta cara yang lebih berhemah.
Dr. Noor Hisham berkata, perkhidmatan kesihatan perlu terus dianggap sebagai sektor kritikal dan tanpa sistem kesihatan utuh negara tidak mungkin boleh terus maju ke hadapan. – KOSMO! ONLINE