SHAH ALAM – Tidak beri nafkah sejak kira-kira dua tahun lalu, itu antara alasan utama isteri pelakon Afiq Muiz, Pachara Apin membuat permohonan tuntutan untuk bercerai dengan suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Petaling di sini.
Perkara itu dimaklumkan peguam syarie Suriati Ab. Ghani yang mewakili Pachara ketika ditemui selepas prosiding kes di hadapan Hakim Syarie Abdul Malik Soleh.
Menurut peguam syarie itu, sebelum ini anak guamnya selaku plaintif telah memfailkan penceraian secara baik pada 26 Ogos tahun lalu.
“Bagaimanapun suaminya (Afiq) tidak pernah hadir sehingga anak guam terpaksa membuat permohonan cerai menerusi tuntutan fasakh pada Oktober 2022. Defendan (Afiq) tidak beri nafkah sejak Mei 2021 hingga sekarang memang ditinggalkan Pachara,” katanya.
Tambah peguam syarie itu lagi, sebelum ini, pihaknya pernah cuba mencari Afiq namun gagal.
Fasakh bermaksud pembubaran nikah disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh hukum Syarak.
Antara perkara-perkara yang mengharuskan Fasakh ialah apabila suami atau isteri tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih dari satu tahun.
Terdahulu semasa prosiding hari ini, peguam syarie itu turut memaklumkan kepada mahkamah Afiq selaku defendan tidak pernah hadir atau respon terhadap permohonan anak guamnya itu meskipun penyampaian melalui iklan sudah dibuat.
Semasa prosiding Hakim Syarie turut bertanya, “defendan (Afiq) tidak pernah hadir ke mahkamah?” Mendengar pertanyaan itu, peguam syarie berkenaan kemudian mengesahkan defendan tidak pernah hadir.
Justeru mahkamah kemudian menetapkan 6 April ini bagi prosiding seterusnya dengan Pachara atau nama Islamnya, Nur Aaira Mahdeya, 32, akan memberi keterangan.
Untuk rekod Afiq mendirikan rumah tangga dengan Pachara pada 27 Mac 2019 selepas setahun berkenalan di set penggambaran drama Air Mata Syurga.
Pada November tahun lalu, media melaporkan Afiq membuat laporan polis bagi membersihkan nama selepas mendakwa difitnah Pachara.
Kata pemilik nama sebenar Muhammad Afiq Muiz, 31, buat masa ini dia menyerahkan kepada peguamnya untuk tindakan susulan berhubung tuduhan kaki pukul yang dilemparkan wanita itu. – KOSMO! ONLINE