fbpx

Lelaki larikan kereta peronda polis didakwa enam pertuduhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azrullah didakwa enam pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth hari ini.

SEBERANG PERAI – Lelaki yang melarikan sebuah kereta peronda polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seberang Perai Utara (SPU) di Kepala Batas di sini Sabtu lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini atas enam pertuduhan.

Tertuduh, Mohamad Azrullah Mohd. Rodzi, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Majistret M. Kalaiarasi.

Antara pertuduhan, peniaga ikan bilis itu didakwa mencuri kereta jenis Honda Civic milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), menyamar pegawai polis, mencuri telefon bimbit dan cubaan merompak.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di IPD SPU, kedai di Pokok Sena dan kedai di Tasek Gelugor di sini pada Sabtu lau.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379, Seksyen 379A, Seksyen 170 dan Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humairah Kamaruzaman, manakala tertuduh diwakili peguam Muhaimin Hashim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin berjumlah RM17,500 beserta tiga orang penjamin.

Majistret turut membenarkan permohonan peguam untuk menghantar tertuduh ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi pemeriksaan kesihatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor turut
mengiringi tertuduh dan hadir pada prosiding itu bagi mengikuti perkembangan kes.

Kosmo! baru-baru ini melaporkan dua lelaki yang juga adik-beradik bertindak berani menyamun sebuah kereta peronda polis di IPD SPU di Kepala Batas di sini.

Suspek menyamar sebagai anggota polis dari Bahagian Sumber Teknologi Maklumat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan mahu membuat pemeriksaan pada kamera papan pemuka kereta tersebut.

Dua beradik itu kemudian membawa kenderaan itu keluar dari pekarangan IPD dan anggota hanya menyedari disamun selepas kedua-dua mereka lesap.

Suspek lelaki dan seorang wanita ditahan kira-kira empat jam kemudian di Shah Alam, Selangor selepas memecut kereta tersebut sejauh kira-kira 360 kilometer, manakala adik suspek ditahan di Bukit Mertajam di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI