ALOR SETAR – Tiga lelaki tempatan ditahan kerana memiliki senjata api tanpa lesen berupa senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari memberitahu, lelaki berusia antara 20 hingga 32 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua rumah berasingan di Padang Terap dekat sini hasil maklumat awam pada 21 Mac lalu.
“Sebanyak dua laras senapang patah, peluru hidup dan busur buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk memburu hidupan liar di kawasan tersebut sebagai sumber pendapatan dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971 dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
“Dua daripada tiga suspek yang ditangkap telah dituduh di Mahkamah Sesyen Alor Setar pada Isnin lalu,” ujarnya.
Tambahnya, polis menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan daripada membeli atau memiliki sebarang senjata api tanpa lesen yang sah. – KOSMO! ONLINE