PETALING JAYA – Fenomena hujan ais batu dilaporkan berlaku di beberapa kawasan negeri Selangor sekitar pukul 5.30 petang tadi.
Menurut pengguna di Facebook, kawasan yang terlibat adalah di Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite), Kota Kemuning di Shah Alam, Putra Heights, Bukit Lanchong dan Usj, Subang Jaya serta sekitar Puchong.
Ramai pengguna di platform berkenaan sempat berkongsi pengalaman mereka tentang fenomena hujan ais batu petang tadi.
“Basah kuyup lepas selepas ambil anak sekolah. Hujan lebat angin kuat sehingga ada pokok tumbang. Jiran sempat kutip ais batu tadi,” tulis Eliza Nurman.
“Baru saja lepas redah hujan batu tadi. Banyak sangat pokok tumbang, kasihan peniaga dan kereta juga banyak kena hempap dengan pokok,”luah Bella Zainuddin.
“Kejadian hujan ribut, hujan batu dekat rumah. Takut kami anak beranak, suami pula tiada di rumah,” ujarnya dalam satu hantaran.
Sehubungan itu, ramai juga pengguna turut berkongsi keadaan rumah kejiranan yang terjejas akibat hujan ribut berserta hujan ais batu berkenaan.
“Ribut, hujan ais batu sekitar Kampung Lombong, Seksyen 29, Shah Alam. Banyak atap rumah di taman ini dilaporkan tercabut dan tertanggal,” katanya. -KOSMO! ONLINE