PETALING JAYA – Bagi menghayati bulan Ramadan ini seluruh jabatan kerajaan perlu mengimarahkan bulan suci ini dengan majlis tazkirah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif tersebut merupakan sebahagian usaha bagi mendekatkan umat Islam terus beribadah pada bulan yang mulia ini.
“Inisiatif ini adalah sebahagian usaha memberi makna kepada penghayatan bulan Ramadan yang sarat dengan mesej universal.
“Menerusi acara ini usaha menghadam, menelaah petunjuk Al-Quran boleh meningkatkan kefahaman hingga dapat membantu kita membedakan antara yang hak dan batil.
“Semoga sisi kerohanian yang diperoleh dari semangat Ramadan ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada kehidupan, diri, masyarakat dan negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, Anwar hadir pada Program Ihya’ Ramadan yang berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya, tengah hari tadi.
Pada program tersebut, beliau turut berkesempatan mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah. – KOSMO! ONLINE