fbpx

Kasihku Abadi 2023 satukan Inteam, Ezad Lazim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERNAH beraksi di atas satu pentas akhirnya membawa kepada kerjasama dalam sebuah lagu sama antara Inteam dan Ezad Lazim.

MENJADI kelaziman buat kumpulan nasyid popular Inteam menjalin kolaborasi dengan artis jemputan dalam projek remake lagu-lagu popular mereka, khususnya setiap kali menjelang Ramadan.

Sebelum ini, Inteam pernah berduet dengan Khai Bahar dalam lagu remake Setanggi Syurga, Damba Kasih (Sufian Suhaimi) dan Mencari Sinar (Sam Bunkface).

Tahun ini, kumpulan itu tampil dengan buah tangan terbaharu iaitu remake lagu Kasihku Abadi, istimewanya menampilkan vokalis popular, Ezad Lazim sebagai gandingan bersama.

Mengulas tentang pemilihan Ezad, Hisyam mewakili Inteam menjelaskan, sebelum ini mereka pernah sepentas bersama vokalis kumpulan Exists itu pada penganjuran Konsert 20 Tahun Inteam, dua tahun lalu.

“Kami pernah berduet dengan Ezad dan Exists menerusi lagu Bunga pada konsert kami. Melihat keserasian yang ada, kami menawarkan dia menjalin kolaborasi.

“Alhamdulillah, tawaran kami disambut baik oleh Ezad dan terhasillah projek istimewa ini,” katanya.

Ujar Syah selaku ketua Inteam, Kasihku Abadi 2023 merupakan lagu yang pernah popular sekitar 2004, namun dirakam semula dengan konsep muzik agak berbeza bersatu dengan sentuhan vokal Ezad.

“Kalau versi asal lebih berkonsepkan pop balada, kali ini kami cuba memasukkan unsur-unsur pengaruh muzik Arab dan Turkiye,” ujarnya.

LAGU Kasihku Abadi 2023 disuntik elemen baharu dengan memasukkan bunyi muzik Arab dan Turkiye.

Kasihku Abadi 2023 merupakan gubahan Munif Ahmad dari kumpulan nasyid terkenal Hijjaz, sementara lirik pula ditulis oleh penulis prolifik, Lukhman S.

Bahagian susunan muzik pula menerima sentuhan kreativiti Alfa Booty Kesuma dan Wan Saleh.

Sementara itu tambah Rahim, penghasilan video muzik baharu untuk Kasihku Abadi diinspirasikan daripada kisah perkahwinan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) bernama Haziq Samrat bersama isterinya, Miera yang pernah tular dalam media sosial.

“Kisah perkahwinan mereka sangat sesuai dengan lirik lagu ini, menggambarkan setiap insan mendambakan kehadiran pasangan yang akan melengkapi hidup serta menjadi fitrah manusia ingin berkasih sayang dan berpasang-pasangan,” katanya.

Keserasian antara Inteam dan Ezad juga berjaya melenturkan hati pendengar bahkan rata-ratanya menitiskan air mata melihat kisah yang dipaparkan dalam video muzik lagu tersebut.

Lagu Kasihku Abadi 2023 dilancarkan secara rasmi pada 17 Mac lalu dan kini sudah tersedia dalam semua platform penstriman. Sementara video muzik lagu tersebut boleh dilayari dalam saluran YouTube Inteam Digital. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI