LONDON – Bekas juara heavyweight, Anthony Joshua yang terdesak untuk memburu kemenangan pertamanya dalam tempoh dua tahun dikatakan bersedia untuk bersara sekiranya dia gagal mencatat kemenangan semula.
Joshua mendedahkan perkara tersebut kepada juara dunia cruiserweight, Johnny Nelson dan menjelaskan dia sepatutnya boleh ‘gantung’ sarung tinju sekiranya tumbang di tangan Jermaine Franklin di O2 Arena, London pada Sabtu ini.
Seperti sedia maklum, petinju berusia 33 tahun itu terdesak mencari kemenangan selepas gagal mempertahankan gelaran heavyweight sejurus kekalahan ke atas Oleksandr Usyk pada September 2021.
Lebih malang petinju kelahiran Britain tersebut turut tumpas pada perlawanan ulangan dengan Usyk pada Ogos tahun lalu.
“Jika Anthony Joshua kalah, dia perlu bertindak sedemikian. Jika dia gagal untuk menang kali ini, pastinya ia adalah satu tugas sukar untuk bangkit.
“Dia (Joshua) hanya perlu memikirkan bahawa dia boleh menjadi juara dunia, mampu memperbaiki kesilapan yang pernah dia lakukan. Joshua telah berada dalam arena ini selama 11 tahun, jadi tiada masalah baginya.
“Jika Joshua memikirkan boleh membetulkan keadaan dan mencipta kebangkitan semula, maka ada sebabnya untuk dia bertahan serta memburu ‘individu’ yang telah mengalahkannya sebanyak dua kali (Usyk),” kata Nelson.
Dalam pada itu, Nelson turut memberi amaran kepada Joshua bahawa Franklin bukan lawan yang mudah dan mampu melakukan kejutan pada perlawanan tersebut.
“Apabila bercakap tentang Franklin, Joshua perlu dominan dan lebih tajam terutama tumbukkannya. Dia perlu meningkatkan keyakinan dirinya semula kerana dia mempunyai kebolehan, jika gagal dia tidak akan menjadi juara dunia,” tambahnya. – AGENSI