fbpx

Imarahkan Ramadan acuan TV AlHijrah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KETUA Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris (enam kiri) bersama artis jemputan bergambar di hadapan bas Alhijrah On The Bus pada majlis pelancaran program Ramadan TV AlHijrah di Zebra Square, Kuala Lumpur baru-baru ini.

DEMI menghayati dan memberi aspirasi kepada penonton sepanjang bulan Ramadan, tahun ini stesen TV AlHijrah tampil dengan 17 buah program baharu yang menarik.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, pihaknya sangat komited memperjuangkan kandungan bercorak agama terutamanya sepanjang Ramadan.

Justeru, menerusi tema Imarahkan Ramadan #EratkanJalinan, TV AlHijrah menerbitkan pelbagai program khas untuk tontonan pada bulan mulia ini daripada drama, dokumentari, bual bicara, masakan sehinggalah hiburan islamik.

“Tahun ini TV AlHijrah telah memperuntukkan 29 jam penerbitan khas untuk program Ramadan tahun ini. Selain program berbentuk keagamaan, tidak dilupa hiburan seperti drama iaitu Kesempatan Kedua dan Sis Fika.

“Bulan Ramadan memang penonton mencari ilmu dan program-program keagamaan, jadi TV AlHijrah memberi sehabis baik untuk memenuhi santapan rohani penonton pada bulan mulia ini,” ujar Namanzee.

TARANUM Challenge oleh Fakhrul UNIC bersama peserta Akademi Qurra turut menjadi pengisian sempena pelancaran program Ramadan TV AlHijrah baru-baru ini.

Antara program yang disiarkan sepanjang Ramadan menerusi TV AlHijrah termasuklah, Peristiwa Ramadan, Rehlah Roh Haramain, Khatam al-Quran Perdana, Cinta Ilmu Istimewa Ramadan dan Cinta Ilmu Qiam.

Tidak ketinggalan, terdapat juga program Kerusi Lipat, Ihya Ramadan, Camca Ramadan, Camca Viral, Assalamualaikum Sahur, Kapsul Taranum Challenge, Sembang Moreh, Dokumentari Legasi Mushaf dan Matahati Madani.

Dalam pada itu, sudah menjadi kelaziman setiap kali tibanya bulan Ramadan TV AlHijrah akan menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan yang memerlukan.

Inisiatif CSR pertama adalah agihan bubur lambuk oleh Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah yang kini telah memasuki tahun ketujuh penganjuran.

“Tahun ini Skuad Bubur Lambuk akan turun padang menggunakan khidmat 15 orang penunggang motosikal yang akan membuat edaran sebanyak 1,000 bungkusan bubur lambuk di lima lokasi tumpuan orang ramai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

“Antara lokasi yang telah dikenal pasti adalah Hospital Besar Kuala Lumpur, stesen LRT, UiTM Shah Alam, Stesen Perhentian Bas Kajang dan masjid-masjid,” kata Namanzee.

PERSEMBAHAN ringkas oleh pelakon jemputan sebagai gimik program Peristiwa Ramadan sempena pelancaran program Ramadan TV AlHijrah.

Selain daripada itu, AlHijrah On The Bus adalah program CSR yang baru diperkenalkan tahun ini.

Tujuan utama aktiviti sedemikian adalah untuk memberi kegembiraan menyambut Aidilfitri bersama keluarga tercinta.

Bekerjasama dengan Mara Liner Sdn. Bhd. sebanyak empat buah bas dengan kapasiti 180 orang penumpang akan melalui rangkaian lebuh raya ke Utara, Selatan dan Timur tanah air membawa orang ramai yang terpilih pulang beraya secara percuma.

“Setiap kali musim raya, mesti kita dengar ada yang tidak dapat pulang beraya kerana kehabisan tikes bas.

“Jadi, menerusi program CSR ALHijrah On The Bus ini, kami berharap dapat meringankan beban orang ramai,” ulas Namanzee.

Perjalanan pertama AlHijrah On The Bus akan bermula pada 14 April ini ke Perlis, Johor, Kelantan dan Terengganu.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket bas secara percuma boleh layari laman web TV AlHijrah untuk maklumat lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI