KAJANG – Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berjaya menghalang sisa minyak hitam daripada mengalir terus ke Sungai Balak dalam kejadian di Jalan KB1/9 Kampung Baru Balakong, di sini semalam.
LUAS dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima aduan berkaitan kejadian itu daripada orang ramai kira-kira pukul 6 petang.
“Hasil siasatan pihak LUAS mendapati bahan pencemaran tersebut seperti sisa minyak enjin terpakai yang dibuang ke dalam alur air.
“Aliran ini akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat. Pihak LUAS telah menjalankan pensampelan dan sedang mengambil tindakan kawalan di tapak,” katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.
Mengulas lanjut, LUAS berkata, pihaknya telah meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ di lokasi terbabit bagi menghalang aliran minyak ke alur seterusnya di Sungai Balak.
Jelas mereka, siasatan lanjut mendapati lokasi pembuangan minyak tersebut merupakan kawasan bertakung dan disyaki pembuangan haram itu dilakukan oleh pihak ketiga.
“Pemantauan oleh LUAS bersama agensi yang berkaitan sedang dijalankan termasuk kesan di Sungai Balak dan Sungai Langat.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata LUAS. – K! ONLINE.