JENAYAH penculikan membabitkan kanak-kanak sering menghantui masyarakat sejak berpuluh tahun lalu, ada yang berjaya diselamatkan, namun masih banyak kes yang menemui jalan buntu sehingga kini.
Kisah tragis membabitkan kanak-kanak di negara ini cukup menyayat hati, apatah lagi mengenangkan kudrat kecil mereka tidak mampu melawan kerasnya kejahatan pelaku.
Tragedi sebegitu yang juga cukup sinonim dengan kes penculikan popular dalam kalangan masyarakat kita iaitu ‘van putih’ memberi inspirasi kepada syarikat produksi Osmosis Production Sdn. Bhd. untuk menghasilkan sebuah filem aksi berjudul Tujuh Dua Belas yang mengangkat tema jenayah tersebut.
Pengarahnya, Thorpe Ali berkata, idea menghasilkan filem tersebut sudah bermula sejak sekian lama iaitu sekitar 10 tahun lalu, ketika berlakunya sebuah kisah penculikan kanak-kanak pada waktu itu.
“Mengenai judul, sebenarnya Tujuh Dua Belas bermaksud kejadian penculikan yang berlaku dari pukul 7 pagi hingga 12 malam. Secara langsung, ini memberi mesej sekiranya berlaku kejadian sebegitu, tindakan pantas harus diambil segera.
“Kejadian penculikan selalunya tidak menunggu masa lama kerana mudah dikesan dan filem ini menunjukkan watak utamanya berusaha untuk mencari penculik,” kongsinya.
Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon hebat tanah air iaitu Johan As’ari dan Farali Khan selaku bintang utama selain bakat muda, Adam Darwisyh.
Lebih menarik, karya yang menjalani penggambaran sekitar Januari tahun lalu di beberapa buah lokasi seperti Kuala Lumpur dan Perak (Gopeng, Lenggong dan Pengkalan Hulu) turut menampilkan pesilat kelahiran Indonesia, Chintya Chandranaya.
Tujuh Dua Belas mengisahkan Safia, seorang atlet seni mempertahankan diri terpaksa bertarung nyawa untuk menyelamatkan anak saudaranya yang diculik sekumpulan penyeludup organ manusia.
Bercakap lanjut tentang filem arahannya, Thorpe yang melihat genre aksi sebagai salah sebuah genre paling diminati masyarakat negara ini menjanjikan kelainan dalam Tujuh Dua Belas.
“Kebanyakan filem aksi lain selalunya angkat watak lelaki sebagai bintang utama. Berbeza dengan filem ini, Tujuh Dua Belas mengangkat golongan wanita yang lincah dalam seni bela diri.
“Sebab itu saya pilih Farali kerana dia memiliki asas seni bela diri MMA, begitu juga dengan Chintya,” katanya.
Filem Tujuh Dua Belas akan menemui penonton di pawagam pada 4 Mei depan. – KOSMO! ONLINE