KUALA KRAI – Sepasang suami, isteri warga emas hanya mampu berserah dan melaungkan azan apabila bumbung rumah mereka terbang selain bahagian dapur ditimpa pokok tumbang selepas dibadai ribut dalam kejadian di Kampung Ingin Maju di sini petang semalam.
Dalam kejadian pukul 6.30 petang itu, ribut yang berlaku mengejutkan Hasmah Awg Kechik, 62, dan suami, Mohamad Asri Ibrahim, 63, yang sedang menunggu waktu untuk berbuka puasa.
Katanya, sebelum kejadian, dia berada di dapur untuk melakukan persiapan berbuka puasa sebelum berlaku hujan lebat dan ribut.
“Ribut itu berlaku terlalu pantas. Sebelum kejadian, saya sedang membasuh pinggan di singki dan ribut membadai dengan kuat bersama hujan lebat.
“Dalam masa hanya dua minit, keseluruhan bumbung bahagian dapur diterbangkan ribut sebelum suami melaungkan azan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.
Hasmah berkata, sebatang pokok macang yang berusia lebih 30 tahun berhampiran dapur dan bilik turut menghempap rumahnya.
Katanya, dia dan suami berada di dalam hujan hampir setengah jam mereka selepas bumbung rumah hilang diterbangkan ribut.
“Kami sangat cemas dan segera menghubungi anak lelaki yang tinggal di kawasan berhampiran.
“Saya dan suami tinggal di rumah itu sejak 33 tahun lalu dan ia merupakan kejadian ribut kali kedua yang berlaku apabila hanya bumbung bahagian dapur diterbangkan angin kira-kira dua tahun lalu,” katanya.
Katanya, mereka berdua mengalami kerugian hampir RM50,000 ekoran kejadian itu dan kini menumpang di rumah anak, Mohd. Farrez Haqimee Mohamad Asri, 29, yang tinggal berdekatan.
Tambahnya, selain itu, tiga buah rumah berhampiran turut mengalami kerosakan akibat ribut.
Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubungi anak lelakinya, Mohd. Farrez Haqimee di talian 017-706 4009. – KOSMO! ONLINE.