JOHOR BAHRU – Dua sahabat terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan mereka dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah, empat tahun lalu.
Kedua-dua peniaga yang berasal dari Pulau Pinang itu turut dilepas dan dibebaskan daripada dua pertuduhan lain kerana memiliki dadah dan racun, pada waktu sama.
Hakim, Noor Hayati Mat membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pertuduhan gagal membuktikan kes prima facie melibatkan kedua-dua tertuduh.
Dalam penghakimannya, Noor Hayati berkata, keputusan itu dibuat setelah berlaku ralat dalam pendakwaan.
“Tiga individu ditahan ketika kejadian, bagaimanapun suspek ketiga bukan sahaja tidak dituduh, malah tidak dipanggil untuk memberi keterangan.
“Pendakwaan perlu buktikan kedua-dua tertuduh ini mempunyai akses ke lokasi kejadian itu, tetapi gagal dan ini menjejaskan kes pendakwaan.
“Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri,” hujahnya.
Tertuduh, Lim Kean Yi, 32, dan rakannya, Lee Chen Khang, 27, dilihat menarik nafas lega selepas penghakiman tersebut dibacakan hakim.
Berdasarkan kertas pertuduhan pertama, mereka secara bersama telah mengedar dadah jenis 3, 4 – Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 202.47 gram di sebuah apartmen servis di Jalan Persiaran Indah Utama, di sini pada pukul 12.05 tengah hari, 30 Mei 2019.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, mereka secara bersama didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 675.67 gram dan racun jenis Carbamazepine seberat 68.26 gram, di lokasi dan waktu yang sama.
Atas semua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 9(1) Akta Racun 1952.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norliza Abdullah, manakala tertuduh diwakili Peguam, Mohd. Daud Ismail dan Hang Lee Ying.-KOSMO! ONLINE.