fbpx

London Craft Week 2023′ bantu promosi produk usahawan tempatan -Tunku Azizah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tunku Azizah semasa sidang akhbar di Istana Negara hari ini. Foto oleh Amir Khalid/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mahu penganjuran ‘London Craft Week 2023’ sebagai platform untuk mempromosikan dan membantu usahawan kraf tempatan memasarkan hasil mereka ke persada antarabangsa.

Baginda bertitah, acara yang berlangsung di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, Belgrave Square, London bermula 6 Mei hingga 14 Mei depan itu bakal dihadiri kira-kira 5,000 orang pengunjung.

Bertemakan ‘Malaysia’s Heritage Craft’ atau Penceritaan Rakyat Malaysia Melalui Kraf, baginda memaklumkan antara hasil kraf yang akan dibawa ke Kota London terdiri daripada produk warisan masyarakat Melayu, Orang Asli serta produk etnik dari Sabah dan Sarawak.

Menurut Tunku Azizah, sebanyak 14 produk kraf warisan tempatan antaranya Telepuk dan Songket Terengganu, Anyaman Pandan oleh Kaum Semelai, Anyaman Pandan dan Patung Moyang Mah Meri akan dipamerkan pada acara tersebut.

Titah baginda, demostarasi pembuatan kraf oleh tujuh orang usahawan kraf tempatan dan bengkel interaktif pembuatan kraf turut dilangsung pada acara berkenaan.

“Jika tahun lepas kita telah membawa beberapa produk tenunan, tahun ini kita akan membawa produk anyaman yang juga merupakan sebahagian daripada proses tenunan yang dihasilkan oleh pelbagai masyarakat termasuk produk Orang Asli.

“Kita ada tenunan songket dari Terengganu, anyaman dari kaum Mah Meri dari Selangor, anyaman dari kaum Penan dan pelbagai produk dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak,”titah baginda pada sidang akhbar di Istana Negara di sini hari ini.

Tunku Azizah memaklumkan, pada tahun ini, Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Yayasan Tuanku Nur Zahirah akan turut menyertai baginda ke acara tersebut.

“Kerajaan Sarawak akan membawa pelbagai hasil kraftangan usahawa dari negeri terbabit, manakala Yayasan Tuanku Nur Zahirah pula akan membawa produk songket Terengganu mereka yang sememangnya sudah terkenal dan berkualiti tinggi,”titah baginda.

Pameran London Week Craft itu akan dibuka pada pukul 11 pagi hingga 5 petang sepanjang penganjurannya dan ia adalah percuma kepada semua pengunjung dan tiada pendaftaran awal.

Tempahan hanya diperlukan kepada mereka yang ingin menyertai bengkel pembuatan kraf dan bengkel interaktif. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI