PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan latihan perguruan menggunakan pedagogi terkini dan kontemporari seiring dengan trend pendidikan global dan ke arah pembelajaran bermakna dalam usaha meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P).
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, guru-guru dilengkapkan dengan ilmu bidang (content knowledge) dan ilmu keguruan (Technological Pedagogical Content Knowledge) yang merangkumi kursus wajib seperti pedagogi, pentaksiran dalam pendidikan, psikologi pembelajaran, teknologi pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta profesionalisme keguruan dan kepimpinan guru.
“Usaha memantapkan kompetensi guru diteruskan menerusi peluang pembangunan profesionalisme berterusan agar guru sentiasa bersedia dan bermotivasi untuk menjalankan tugas dan meningkatkan kualiti perkhidmatan masing-masing.
“Guru juga dilengkapkan dengan kemahiran pendidikan digital bagi mendepani pendidikan abad ke-21,” katanya ketika menjawab soalan daripada Tuan Ak Nan Ehtook yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan apakah langkah yang diambil bagi meningkatkan kualiti Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di Dewan Negara hari ini.
Hui Ying berkata, guru juga digalakkan untuk membangunkan kompetensi melalui aktiviti komuniti pembelajaran profesional yang boleh dilaksanakan di peringkat sekolah untuk berkongsi kaedah dan amalan terbaik dalam PdP.
“KPM turut menyediakan platform Repositori SumberKU yang memuatkan pelbagai bahan sokongan PdP sebagai rujukan dan panduan kepada guru serta warga KPM.
“Bahan sokongan PdP tersebut terdiri daripada kompilasi modul pedagogi yang sentiasa ditambah baik dan beberapa modul baharu yang dibangunkan seperti Modul Pedagogi Terbeza, Modul Pembelajaran Masteri, Modul Pembelajaran Teradun, Modul Pembelajaran Berasaskan Projek, dan Modul Kecerdasan Pelbagai,” ujarnya.
Katanya lagi, bahan sokongan PdP yang dirangka merangkumi konsep, strategi dan contoh aktiviti PdP bermula dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat sekolah menengah.
“KPM terus meningkatkan kualiti PdP melalui pemantapan kompetensi guru secara berterusan seiring dengan keperluan pendidikan peringkat antarabangsa,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE.